Pertukaran Vokalis, Penggunaan Nama Blackshed Dan Album Villa Misteri Kumpulan_Bloodshed

Setelah penerbitan album tersebut, vokalis Bloodshed, Rosdan berhasrat untuk melangkah ke irama yang lebih keras lagi dan menubuhkan Kumpulan Punisher, yakni satu pancaragam thrash metal bawah tanah Malaysia. Selepas itu Bloodshed menghadapi masalah mencari pengganti Rosdan sehinggalah pada tahun 1989, mereka berjaya mendapatkan Mohd Farid Ali (Farid) sebagai penyanyi baru, seterusnya menukar nama kumpulan tersebut kepada Blackshed. Pada masa yang sama, Judy juga keluar dari kumpulan tersebut dan tempatnya sebagai pemain keyboard telah digantikan oleh Zaha. Maka, anggota asal Bloodshed dari album pertama hanya tinggal dua orang sahaja iaitu Rawita (bass) dan Hamdan Ahmad (dram).

Selepas itu, Kumpulan Blackshed menerbitkan album terakhir mereka yang berjudul Villa Misteri bersama vokalis baru yang mempunyai suara yang seiras dengan suara vokalis asalnya, Rosdan. Lagu popular Blackshed adalah lagu Menggenggam Bara juga ciptaan M. Nasir dan liriknya ditulis oleh Bob. Sepanjang penglibatan Bloodshed dalam industri muzik tanah air, mereka sering menggunakan karya ciptaan mereka sendiri. Mereka juga sering menggunakan khidmat M. Nasir, Man Boron, Usop, Siso dan juga Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI).

Walau bagaimanapun, selepas penerbitan album Villa Misteri, anggota Kumpulan Bloodshed/Blackshed berpecah dan tidak lagi aktif dalam bidang muzik. Kehadiran mereka dalam bidang seni suara berjaya mewarnakan dunia muzik tanah air dengan genre muzik yang mereka persembahkan pada waktu itu.